Bertempat di Perpustakaan Negara Malaysia, kitorang dengan rendah dirinya (pada masa yang sama bangga) melabuhkan tubuh di salah satu kerusi khas untuk media & menanti bermulanya majlis yang dinamakan 'Bicara Perdana Bersama YABhb. Tun Dr. Mahathir Mohamad'. Tepat jam 2.45 petang, Tun tiba seperti yang dijanjikan. Benarlah seperti yang diperkatakan, Tun merupakan seorang yang sangat menepati masa!
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu 'Negaraku' & diikuti dengan bacaan doa pembuka majlis. Kemudian sesi 'Bicara Perdana' dimulakan melalui ucapan serta hujah daripada Tun. Inti pati utama hujah beliau menyentuh aspek sejarah negara seperti kredibiliti Hang Tuah & kesultanan Melayu, zaman penjajahan British & Jepun, pergolakan dunia politik negara & bagaimana setiap satunya memberi impak kepada Malaysia sekarang. Tun juga menegaskan betapa pentingnya sejarah dijadikan iktibar untuk setiap keputusan serta langkah yang diambil oleh pemimpin & rakyat keseluruhannya.
Menuju ke sesi kedua bertajuk 'Sesi Dialog', penonton diberi peluang untuk mengajukan sebarang persoalan yang bermain di minda mereka berkaitan topik yang dibincangkan. Kerjasama yang diberikan penonton ternyata menggalakkan. Pelbagai soalan diajukan termasuklah soalan mengenai kewujudan Hang Tuah serta keperluan generasi muda mengikuti jejak langkah generasi terdahulu.
Pada pendapat kitorang, pendedahan² sebegini oleh tokoh² negara sememangnya amat bermakna bagi rakyat terutama sekali melalui perkongsian idea antara satu sama lain. Kitorang pendekkan cerita, majlis 'Bicara Perdana' memang best!